Gaharu jana jutawan
Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
|
Antara gaharu yang terhasil daripada pokok karas. |
Gaharu merupakan sejenis kayu dengan pelbagai bentuk jaluran warna khas serta memiliki kandungan damar wangian berupa aloe-resin yang akan mengeluarkan bau atau aroma khusus apabila dibakar.
Ia sangat terkenal di negara-negara Arab dan sudah ala diperdagangkan kerana sering digunakan dalam industri pembuatan minyak wangi, produk perubatan dan majlis keagamaan.
Berasal dari perkataan Sanskrit iaitu
Aguru yang bermaksud kayu berat (tenggelam) ia juga lebih dikenali dengan nama
agarwood,
aloeswood, e
agleswood,
Jin-ko (Jepun),
oud (Arab).
Gaharu diperoleh daripada sejenis pokok yang dikenali sebagai karas (
Aquilaria spp.) yang telah disenaraikan dalam Jadual CITES Appendix II sebagai spesies yang sedang diancam kepupusan berikutan penuaian melampau di habitat asalnya.
Harga bagi gaharu gred tinggi mampu mencecah puluhan ribu ringgit dan kini ia menjadi satu fenomena di kalangan masyarakat apabila mereka mula menanamnya dengan harapan ia mampu memberi pulangan yang lumayan.
Namun apa yang menjadi isu pada hari ini adalah pokok 'duit' yang dikatakan mampu menjadikan seseorang itu jutawan segera tidak memberikan hasil yang memberangsangkan.
Ramai yang kecewa dan menganggap ia merupakan perusahaan yang sia-sia dan tidak mampu memberi keuntungan yang lumayan seperti diuar-uarkan.
Namun, rata-rata pengusaha tanaman karas ini mempunyai pengalaman yang cetek atau tiada pengalaman langsung berkenaan penghasilan gaharu daripada pokok ini.
Fenomena tersebut cuma berlegar di kalangan pengusaha dan hanya disampaikan dari mulut ke mulut tanpa melibatkan satu kajian terhadap proses penanaman serta tuaian secara mendalam terhadap sumber yang begitu berharga.
Oleh itu, bagi pengusaha serta penanam gaharu yang benar-benar mahukan pulangan lumayan, mereka perlu mengkaji secara teliti segala prosedur sebelum melaburkan sejumlah wang terhadap perusahaan tersebut.
Terlalu banyak mitos dan pendapat mengenainya.
Ada yang mengatakan ia lebih bernilai daripada emas kerana harganya yang mahal mampu mencecah ribuan ringgit telah membuatkan ramai orang tergila-gilakan hasil pokok ini.
Hakikatnya, taburan pokok ini di dalam hutan di kategorikan berada di ambang kepupusan kerana penuaian secara berleluasa tanpa pengawalan yang rapi.
Tanpa inisiatif dengan penanaman semula pokok ini, hasil gaharu negara tidak mampu lagi untuk dieksport ke negara-negara Asia Barat dan negara Asia lain yang meletakkan permintaan tinggi bagi hasil ini.
Daripada segi perusahaan perladangan, Indonesia dan Thailand telah berada selangkah di hadapan kita namun kita masih teragak-agak dengan keupayaan hasil pokok ini.
Kekurangan sumber maklumat tepat dan kekangan modal yang tinggi untuk dikormersialkan menyebabkan ia kurang mendapat perhatian usahawan di negara ini.
Agensi kerajaan yang ada perlu memainkan peranan dalam menyalurkan fakta yang lengkap dan perkembangan teknologi dalam usaha menjadikan ia sebagai industri yang berkembang pesat.
Penyelidikan dalam penghasilan gaharu melalui kaedah suntikan dan inokulasi juga sedang giat dijalankan.
Antara yang agensi kerajaan yang sedang giat menjalankan kajian berkenaan penanaman serta penghasilan gaharu adalah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
Bermula pada sejak awal 1990 di FRIM, bagaimanapun, kajian yang lebih sistematik dijalankan dalam tahun 1992.
Komponen penyelidikan meliputi kajian seperti bahan tanaman, penanaman, pertumbuhan, suntikan tiruan, kimia, serta sosial ekonomi gaharu ke atas penduduk tempatan.
Sepanjang jangka masa ini, agensi usahasama lain yang terlibat adalah seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Hutan Negeri Pahang dan swasta.
Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan) FRIM, Datuk Dr. Abd. Rashid Ab. Malik berkata, kini institut berkenaan berjaya menyediakan teknik menghasilkan gaharu dengan lebih cepat dengan kos yang rendah.
"Jika penanaman gaharu secara biasa ia akan memakan masa yang panjang berbanding kaedah yang telah ditemui FRIM kini.
"Pokok gaharu pada usia empat tahun sudah boleh melalui proses inokulasi dan setelah dua hingga tiga tahun hasilnya sudah boleh diperolehi.
"Bagi yang berminat boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada FRIM dan kita akan sentiasa membantu," katanya.
Teknik inokulasi sebenarnya agak mahal, namun atas usaha yang bersungguh-sungguh, FRIM berjaya menghasilkan teknik menghasilkan gaharu dengan lebih murah dan berkesan.
Jelas Abd. Rashid, pengusaha gaharu kini tidak perlu bimbang kerana negara memiliki teknologi terkini untuk menghasilkan gaharu setanding dengan negara-negara jiran.
Walaupun penanaman gaharu di Malaysia masih pada skala yang agak kecil dan ketinggalan berbanding dengan negara jiran kita seperti Thailand, Kemboja, India dan Indonesia namun kita masih mempunyai peluang yang cerah untuk perusahaan ini berikutan permintaan terhadapnya amat tinggi.
"Di negara kita masih tiada badan khas bagi memantau serta membantu perusahaan ini, justeru semua pihak perlu memainkan peranan penting bagi menjayakannya," ujar beliau.
Namun, kurangnya pendedahan dan pengumpulan maklumat menyebabkan perusahaan gaharu kurang memberi impak dalam pelaksanaannya.
Penghasilan Minyak Gaharu
Untuk mendapat minyak dan berkualiti yang tinggi kualiti kayu gaharu perlu diambil berat.
Terdapat tujuh kategori mutu gaharu namun, untuk mendapatkan kayu yang bermutu tinggi, terdapat lima ciri utama perlu diberi keutamaan dalam memastikan bahawa kayu gaharu tersebut mencapai tahap berkualiti yang dikehendaki atau tidak.
Ia termasuklah corak atau warna pada kayu tersebut seperti warna coklat kehitaman, kandungan damar wangi tinggi, serat padat, berat dan menghasilkan aroma yang kuat apabila dibakar.
Daripada ciri-ciri tersebut, gaharu digredkan kepada gred A, gred B, gred C, gred D, gred E, lain-lain gred dan gaharu racik (kayu racik).
Penghasilan minyak gaharu boleh dilakukan dengan dua kaedah; iaitu kaedah penyulingan stim dan kaedah penyulingan air.
Kaedah penyulingan stim adalah yang paling efektif dengan menghasilkan minyak yang banyak.
Proses dimulakan dengan mengisarkan kayu gaharu sehingga halus kemudian direndam selama beberapa hari sehingga sel kayu (parenkima) dan kelenjar minyak hampir terasing.
Kepingan gaharu ini kemudiannya akan disuling di dalam kelalang clavenger selama enam jam dan setiap peringkat penghasilan minyak yang berlainan warna akan diambil dan digredkan.
Sementara itu, kaedah penyulingan air adalah paling mudah tetapi penghasilan minyak gaharu adalah pada tahap minimum.
Kayu gaharu tersebut akan dimasak selama empat hingga lima hari sehingga minyak gaharu terhasil.
Di Malaysia, perusahaan secara besar-besaran telah berubah menggunakan teknik penyulingan stim daripada penyulingan air kerana proses yang lebih mudah dan kos yang rendah.
Rata-rata ramai pengusaha gaharu yang kurang berpengalaman didalam bidang ini namun tetap berminat untuk mempelajarinya.
Justeru Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Fakulti Perhutanan akan mengadakan Seminar Kebangsaan dan Pameran Gaharu 2010 pada 22 hingga 23 Mac ini di Auditorium Kejuruteraan, Fakulti Kejuruteraan UPM, Serdang.
Seminar tersebut bertemakan 'Ke Arah Kelestarian Pembangunan Industri Gaharu'.
Seminar ini akan di hadiri oleh pembentang-pembentang kertas kerja daripada pelbagai aspek termasuk Sumber dan Pengurusan Pokok Karas, Penuaian, Penyimpanan & Penyediaan Bahan, Pemprosesan Minyak Gaharu & Ciri-ciri Kualiti Dan Promosi, Pemasaran & Polisi.
Pembentang kertas kerja yang akan dijemput menghadiri seminar ini mempunyai kepakaran di dalam industri ini dari sudut polisi, penyelidikan, perusahaan, pemasaran dan pembekalan serta penggunaan.
Mereka terdiri daripada ahli akademik, jabatan kerajaan, pemimpin organisasi, pengusaha ladang, ahli profesional dari industri berkaitan serta pengguna produk ini sendiri.
Bagi yang berminat mereka boleh mendapatkan maklumat di laman web
nationalgaharu.blogspot.com atau
www.forr.upm.edu.my dan
www.introp.upm.edu.my.