Teknik penanaman gaharu
|
|
Kini usaha penanaman pokok karas sedang giat dilakukan oleh beberapa agensi yang ada di beberapa tempat di negara ini.
Pada umumnya terdapat dua spesies pokok yang menghasilkan gaharu iaitu pokok karas (Aquilaria spp.) dan cendana (Gyrinops spp.).
Proses terjadinya gaharu apabila pokok yang mengalami luka atau diserang penyakit dan kulat yang menjangkiti pokok tersebut merebak ke dalam jaringan pembuluh kayu (vesel).
Untuk terus hidup, kulat tersebut akan menggunakan cairan sel dalam saluran pokok sebagai sumber tenaganya atau makanannya secara perlahan-lahan sehingga menyebabkan kurang atau terhentinya penghantaran makanan kepada daun.
Sel-sel yang isinya sudah dimakan oleh kulat akan membentuk suatu kumpulan sel mati pada jaringan pembuluh kayu.
Hasil tindak balas kimia dalam kayu tersebut akan menghasilkan resin atau damar wangi yang dinamakan gaharu dan apabila dibakar akan mengeluarkan aromanya yang tersendiri.
Pokok karas yang mengeluarkan gaharu adalah dari famili Thymelaeceae yang mana terdapat 25 spesies Aquilaria dijumpai di seluruh dunia.
Di Malaysia terdapat lima spesies utama iaitu; A. malaccensis, A. hirta, A. beccariana, A. rostrata, A. microcarpa.
Terdapat tiga spesies kurang dikenali termasuk A. brachyanta, A. cumingiana dan A. crassna. Menurut Pensyarah Fizik Kayu, Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Madya Dr. Mohd Zin Jusoh, beberapa faktor harus dipertimbangkan dalam usaha penanaman pokok karas secara perladangan.
"Antaranya adalah, pemilihan anak benih, jarak tanaman, kaedah penanaman, kaedah suntikan dan pasaran.
"Ia juga harus dinilai untuk meminimumkan risiko yang ada bertujuan mendapat hasil yang maksimum selepas tujuh tahun penanaman," katanya.
Pertama, dari segi pemilihan anak benih sering menjadi persoalan.
Terdapat dakwaan bahawa spesies A lebih baik dari spesies B dan ada yang sebaliknya kerana ia lebih cepat membesar dan lebih mahal.
"Kita seharusnya meneliti semula kawasan penanaman kerana pokok karas memerlukan habitat yang unik berbanding dengan pokok lain," katanya.
Katanya, pokok yang sihat dan membesar dengan cepat biasanya menghasilkan gaharu yang sedikit berbanding pokok yang sakit, 'stres' dan cedera.
"Ia sebenarnya selari dengan kejadian semulajadi gaharu di dalam hutan, pokok yang berada di kawasan berbatu dan mengalami tindakbalas kecederaan yang teruk menghasilkan gaharu yang lebih bermutu.
"Kita juga harus melihat kepada permintaan pasaran dan spesies yang menjadi pilihan pembeli dan mempunyai harga yang tinggi.
Spesies Aquilaria malaccensis merupakan salah satu spesies yang mempunyai nilai komersial yang tinggi.
"Manakala kaedah penanaman, jarak penanaman 6 kaki x 6 kaki atau 10 kaki x 10 kaki menghasilkan jumlah tanaman pada 430 pokok atau 1,000 pokok seekar," ujarnya.
Tambah beliau, penanaman secara integrasi adalah lebih meminimumkan risiko, malahan memberi pulangan jangka pendek yang boleh menampung kos keseluruhan.
Jelas Mohd. Zin, boleh dilakukan dengan tanaman herba dan tanaman kontan dan jarak tanaman harus sesuai dengan keadaan tanah.
Selepas pokok karas mencapai usia lima tahun, suntikan sejenis enzim dilakukan untuk merangsang penghasilan gaharu dan dibiarkan selama dua tahun sebelum mendapat hasil yang optimum.
"Tanpa pendekatan ini pokok karas tidak mampu membentuk gaharu di dalamnya kerana dalam keadaan dengan semulajadi, gaharu terbentuk apabila pokok mencecah usia 20 - 40 tahun melalui kecederaan fizikal atau serangan mikro organisma," katanya.
Menurut Mohd. Zin, pokok karas sesuai ditanam di kawasan dataran rendah dan pergunungan pada ketinggian antara 0 dan 750 meter (m) dari aras laut.
"Purata taburan hujan kurang dari 2000 sentimeter (sm) setahun dan suhu paling sesuai adalah antara 27-32 darjah Celsius dan cahaya matahari antara 45-70 peratus.
"Pertumbuhan pokok mampu mencapai ketinggian antara 25 dan 40 meter dan diameter antara 60-80 sm pada ukur lilit," katanya.
Tanah yang sesuai bagi penanaman pokok karas adalah dari jenis lempung dan liat berpasir dan pH tanah antara 4. - 6 pH. Penanaman boleh dijalankan di tanah persendirian, hutan simpan dan tanah kerajaan melalui dua kaedah tanaman iaitu;
nKaedah Monokultur
Tanaman ini dilaksanakan dengan jarak tanaman 3 x 3m dengan jumlah sebanyak 1000-13000 pokok sehektar. Ada juga yang ditanam dengan jarak tanaman 2 meter x 2 meter dengan jumlah yang boleh mencapai 1600 batang pokok sehektar.
nKaedah tanaman Selingan
Pokok karas juga boleh ditanam di bawah pokok-pokok yang lain yang berumur antara 5-8 tahun seperti di ladang kelapa sawit, ladang getah, ladang Kopi, ladang Acacia secara tanaman berselang.
No comments:
Post a Comment