Monday, November 29, 2010

Industri baru rebung madu

KETIBAAN rombongan kakitangan Agrobank bersama media untuk membuat liputan projek-projek pembiayaan organisasi kewangan itu di sekitar negeri Kedah di sambut dengan hidangan makan tengahari yang berbeza daripada biasa.
Kesemua menu yang dihidang mengandungi rebung madu sebagai bahan asas. Cuma ia disediakan dalam pelbagai masakan.
Hidangan seperti gulai daging bersama rebung madu, acar rebung madu dan masak lemak rebung madu kelihatan cukup menyelerakan.
''Rebung madu mempunyai rasa yang sangat berlemak dan manis berbeza daripada rebung biasa,'' jelas pemilik restoran, Ahmad Tajudin Hamid ketika ditemui di Kuala Nerang, Kedah baru-baru ini.
Sambil menikmati hidangan, Ahmad Tajudin sempat bercerita mengenai industri rebung madu yang semakin semakin berkembang pesat serta mendapat permintaan tinggi.
Katanya, selain masakan, tumbuhan dalam kategori sayur itu juga boleh dihasilkan dalam bentuk tepung, kerepek, jeruk dan juga rebung beku.
Dia yang turut terlibat dalam industri penanaman rebung madu kemudian membawa rombongan melawat ke ladangnya yang terletak di kawasan berhampiran.
''Saya mula berjinak-jinak dengan perusahaan penanaman rebung madu ini sekitar tahun 2008.
''Ketika itu, ada kawan menyuruh saya cuba merasai rebung ini. Tertarik dengan rasanya yang sangat sedap, terlintas di fikiran untuk menanamnya.
''Kebetulan juga pada masa itu saya memang tengah mencari idea untuk menjalankan projek tanaman yang mudah dan cepat mengeluarkan,'' jelas bapa kepada lima orang anak itu.
Hanya bermodalkan RM1,800 bagi tujuan membersihkan kawasan hutan dan membeli biji benih, Ahmad Tajudin memulakan projek tanaman rebung madu di kawasan tanah seluar empat ekar yang disewanya.
Ahmad Tajudin menunjukkan cara yang betul menebang pokok rebung madu matang.


Di peringkat awal, dia hanya menanam 400 anak pokok rebung madu dengan jarak tiga meter setiap pokok untuk memudahkan pertumbuhan.
''Setiap biji benih ini kemudiannya akan bercambah membentuk serumpun pokok yang mengandungi antara lapan hingga 10 batang rebung.
''Sebahagian pokok-pokok ini kemudiannya akan ditebang untuk dijadikan sebagai benih pula,'' jelasnya.
Bercerita mengenai penjagaan pokok rebung madu, Ahmad Tajudin memberitahu, prosesnya sangat mudah dan tidak membebankan.
Untuk tujuan membaja, ia hanya perlu dijalankan setiap enam bulan sekali.
Bagi aktiviti penyemburan racun serangga pula, ia dibuat setiap dua bulan untuk mengelakkan gangguan serangga seperti anai-anai dan kerising.
''Biasanya, kita akan menggunakan baja daripada najis lembu yang telah diproses selain menerima bantuan baja daripada pihak Jabatan Pertanian,'' katanya.
Sesuatu yang unik mengenai rebung madu, ia tidak mempunyai sifat miang seperti rebung biasa.
Lebih memudahkan, sistem pembiakannya juga tidak memerlukan jumlah air yang banyak serta senang dijaga.
Rebung madu mempunyai tempoh matang selama lapan bulan dan selepas tempoh itu, hasilnya boleh dituai.
Melihat proses pengendalian yang mudah dan permintaannya yang tinggi, Ahmad Tajudin telah membuat pinjaman modal daripada pihak Agrobank untuk memperluaskan perusahaannya.
Kini, ladangnya telah mempunyai lebih daripada 800 pokok.
Pada masa akan datang, dia bercadang untuk mencari kawasan tanah yang lebih besar bagi membolehkannya menanam lebih banyak pokok.