Monday, April 26, 2010

utusan malaysia 26 april 2010

Potensi rebung madu


Adnan OSMAN: Rebung madu mempunyai keistimewaan tidak miang dan rasanya juga tidak pahit seperti rebung biasa.


Melentur buluh biarlah daripada rebung' adalah antara peribahasa yang sangat sinonim dengan masyarakat Melayu.
Ini menunjukkan betapa dekat dan prihatinnya masyarakat Melayu dengan alam sekitar seperti buluh dan rebung.
Buluh sememangnya mempunyai banyak kegunaan daripada landskap, bahan binaan rumah sehinggalah kepada perabot, sementara rebung pula enak dijadikan masakan gulai lemak cili padi.
Melihat kepada banyaknya kegunaan buluh dan rebung, Adnan Osman mula membawa pokok-pokok buluh dari China bagi perniagaan landskapnya.
Antara buluh yang dibawa masuk adalah buluh rebung madu yang mudah ditanam, sesuai untuk tanaman landskap serta rebungnya pula tidak miang seperti rebung biasa.
Mula membawa masuk buluh rebung madu pada tahun 2004, Adnan mengusahakannya di tanah seluas 100 hektar di Kedah.
"Saya memilih rebung madu kerana ia mudah diselenggarakan walaupun di tanah yang kering, berpasir mahupun lembap," katanya semasa ditemui di ladang rebung madunya di Projek Pertanian Moden Lanchang, Pahang.
Lawatan ke ladang rebung madu merupakan sebahagian daripada lawatan program Agrochallange Putrajaya-Pekan yang berlangsung baru-baru ini.
Pengurus Tunas Budi Sdn Bhd ini menyifatkan rebung madu yang ditanam amat istimewa kerana cepat membesar, tidak miang serta tidak pahit seperti rebung biasa.
"Buluhnya yang kecil, rumpunnya yang rapat serta tidak mempunyai miang menyebabkan ia sesuai ditanam di sekeliling rumah," katanya.
Ditanya mengenai pengendalian rebung madu, Adnan memberitahu, tidak sesukar mana kerana tanaman berkenaan tidak memerlukan air yang banyak.
"Malah pokok ini boleh hidup walaupun di kawasan yang ditambak dan kering mahu pun di tempat berpaya.
"Cuma apabila ditanam di kawasan yang agak basah, buluhnya akan tumbuh lebih besar," katanya yang memelihara itik sebagai produk sampingan ladangnya.
Jelas Adnan, tanaman buluh rebung madu hanya memerlukan kawasan yang tidak begitu besar kerana satu ekar boleh ditanam dengan 300 rumpun buluh.
Ini bermakna satu rumpun hanya memerlukan kawasan seluas 12 kaki x 12 kaki.
"Apa yang lebih menarik, jangka hayat buluh bukan hanya boleh mencapai sehingga beratus-ratus tahun tetapi mudah hidup dan boleh dituai dalam masa yang singkat," katanya.
Biasanya rebung akan membesar sebanyak enam inci sehari dan boleh dituai setiap dua hingga lima hari.
"Serumpun buluh biasanya boleh menghasilkan dua kilogram rebung sebulan dengan harga pasaran RM5 hingga RM7 sekilogram," katanya.
Adnan berkata, sehingga kini lebih 90 peratus rebung diimport terutamanya rebung kaleng.
"Buat masa ini tidak sampai 10 peratus rebung tempatan yang berada di pasaran tempatan dan bekalan tidak dapat menampung permintaan pelanggan," katanya.
Adnan yang sentiasa peka dengan aktiviti pemasaran telah mula mempelbagaikan industri hiliran bagi rebung madu.
Selain menjualnya secara segar untuk gulai, beliau juga memprosesnya dalam bentuk jeruk untuk dimakan sebagai kudapan.
"Jeruk rebung madu memang mendapat sambutan yang amat menggalakkan kerana rasanya yang lemak manis.
"Jeruk ini diproses tanpa menggunakan sebarang bahan pengawet," katanya yang bercadang untuk mengkomersialkannya dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun bagi merealisasikan impiannya, Adnan perlukan bekalan rebung madu yang mencukupi.
Justeru bagi mengatasi masalah berkenaan, Tunas Budi Sdn Bhd telah mengadakan pusat jualan serta latihan bagi menanam rebung madu.
"Kami menyediakan pakej menanam rebung madu bermula dengan kaedah menanam, penjagaan, cara menuai sehingga memproses kepada sesiapa yang berminat.
"Kami juga memberikan pilihan sama ada mereka menjual rebung kepada kami atau memasarkannya sendiri," katanya.
Dengan ini, penanam tidak perlu terikat dengan syarikatnya bagi tujuan pemasaran dan mereka boleh membuat pilihan sendiri.
Berkonsepkan agro pelancongan, Adnan juga menyediakan kemudahan penginapan calet bagi peserta yang berminat mengikuti kursus tanaman rebung madu di ladangnya.
"Ini bagi membolehkan peserta merasai pengalaman bagaimana mengendalikan tanaman rebung madu secara hands-on," katanya.
Kursus dibahagikan kepada dua pakej iaitu pakej satu hanya meliputi tanaman dan tuaian dan kedua tanaman, tuaian dan pemprosesan jeruk.
Adnan berkata, selesai kursus peserta boleh membeli rumpun buluh untuk ditanam sendiri dengan harga yang berpatutan di ladangnya.
Pembaca yang ingin maklumat lanjut mengenai tanaman rebung madu boleh menghubungi Adnan di 016-4935395, 013-9180248 atau e-mel: nanbamboo@yahoo.com

Monday, April 19, 2010

yg besa dah 2 bulan yg kecik baru seminggu













last wik tanam 52batang separuh buat landskap keliling rumah..balnce tanam kat kebun...
musim ujan ni senang sket  yah risau....







Wednesday, April 7, 2010

rebung buluh madu....another side kick projek kick off

Apakah keistimewaan buluh madu yang mendorong Abu Bakar Ismail untuk menjadikannya sebagai sumber pendapatan?




SETIAP individu pasti ingin berjaya dalam perniagaan yang dijalankan. Begitu juga dengan bekas pengusaha ladang kelapa sawit, Abu Bakar Ismail.
Abu Bakar, 68, dari Kampung Pasir Putih, Tualak, Kuala Nerang, Kedah berazam untuk melakukan sesuatu yang berbeza di samping berjaya melalui tanaman pokok buluh madu.
Sehubungan itu, dia mula mencari beberapa ladang buluh madu di sekitar daerah Padang Terap dan Kubang Pasu untuk melihat cara-cara pokok itu ditanam.
Buluh madu menghasilkan rebung madu yang enak selain buluhnya yang sesuai dijadikan produk kraftangan dan perabot.
Begitupun, hasrat warga emas ini hampir gagal apabila isterinya Siti Leha Hashim, 65, menganggap idea itu tidak masuk akal.
Namun, dengan keazaman yang menggunung, Abu Bakar tetap meneruskan tanaman itu di atas tanah seluas satu hektar di depan rumahnya tiga tahun lalu. Ia mengambil masa selama setahun sebelum buluh madu itu membesar dengan baik.
Menurut Abu Bakar, pada peringkat awal dia hanya menanam 50 batang pokok saja untuk melihat kesesuaian tanah dan persekitaran.
“Apabila mendapati semua pokok yang ditanam tumbuh dengan baik, saya mula menanam lebih banyak anak pokok buluh madu di sekeliling rumah,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Sehingga tahun ini, Abu Bakar berjaya menanam lebih 650 pokok buluh madu di sekeliling rumahnya.
“Pada mulanya, saya menjual rebung ini kepada masyarakat setempat dan ada juga peniaga yang mengambilnya dua kali seminggu untuk dijual di pasar malam.
“Permintaan terhadap rebung meningkat memandangkan ia adalah makanan kesukaan ramai terutamanya dalam masakan tradisional Melayu,” ujarnya
bu Bakar yang dibantu oleh isteri dan tiga anak mereka memberitahu, dia menjual rebung yang belum diproses pada harga RM3.50 sekilogram manakala yang siap diproses RM5 sekilogram.
Katanya, permintaan untuk rebung yang ditanamnya itu meningkat pada musim cuti sekolah khususnya daripada individu yang ingin mengadakan kenduri.
“Kebiasaannya pada majlis-majlis kenduri, rebung madu merupakan antara pilihan yang dicampurkan bersama kari,” jelasnya.
Justeru, dia sering mendapat tempahan rebung madu yang tinggi sehingga dengan pendapatannya mencecah RM30,000 sejak tiga tahun lalu.
Menurutnya, pokok buluh madu tidak sukar dijaga kerana ia merupakan tumbuhan yang lasak.
“Ia cuma perlu diberi baja selain memastikan aliran air yang sempurna bagi menjaga tahap kelembapannya terutama pada musim kemarau,” kata Abu Bakar.
Selain menjual rebung, dia juga turut menjual benih pokok buluh madu pada harga RM10 sepokok.


REBUNG madu antara menu yang popular pada majlis-majlis kenduri.

Apakah rancangan masa akan datangnya? Abu Bakar memberitahu, dia akan menggunakan segala keistimewaan yang ada pada buluh madu untuk mengembangkan perniagaannya.
Abu Bakar berkata, dia akan cuba mendapatkan mesin untuk memproses buluh madu itu untuk dijadikan lidi pencucuk sate dan buluh sebagai perabot.
Jelasnya, dia juga sedang mencari kawasan yang mungkin boleh disediakan oleh kerajaan untuk mengembangkan perniagaannya itu. Pada masa yang sama, mahu menjadikan perniagaannya sebagai model kepada orang lain yang mahu menceburi bidang yang sama.
“Saya berhasrat melangkah setapak lagi dengan mempelbagaikan fungsi pokok buluh madu.
“Mungkin pada masa depan saya akan membekalkan produk-produk yang berasaskan buluh madu selain menyediakan benih kepada mereka yang berminat,” tambahnya.